PENCAWANG


 PENCAWANG Pencawang ialah satu tempat dimana terdapat bekalan elektrik masuk dan keluar (incoming and outgoing supply). Bekalan dikawal oleh perkakas suis (seperti ring main unit, pemutus litar), alatubah dan berbagai jenis sistem perlindungan dan kabel. Bekalan yang masuk melalui kabel bawah tanah dan pemutus litar/perkakas suis disalurkan ke alatubah untuk menurunkan voltannya sebelum disalurkan kepada pengguna. Fungsi pencawang ialah untuk menerima, mengubah, menghantar, mengendalikan serta membahagikan bekalan elektrik kepada pencawang lain ataupun pengguna. Ia juga membolehkan penyuisan masuk atau keluar kebahagian-bahagian lain dalam satu-satu sistem. Disamping itu bahagian yang rosak dalam satu-satu sistem diasingkan dengan cara penyuisan dan bekalan elektrik dapat diberikan melalui litar yang lain dari arah yang lain. Pada kebiasaannya pihak TNB akan meminta mana-mana pihak samada kerajaan ataupun swasta mengadakan satu pencawang voltan tinggi 11kV bilamana Kehendak Maksima (MD) jangkaan melebehi 2MVA. Ada kalanya juga walaupun MD tidak sampai 2MVA, pihak TNB meminta juga sebuah pencawang disediakan atas sebab-sebab berikut: 

a. Kemungkinan feeder pada pencawang TNB sudah tidak dapat lagi menampung beban yang mungkin ditambah 

b. Katakanlah JKR sahaja yang meminta penambahan beban dan dari segi ekonomi tidak menguntungkan malah akan merugikan TNB maka JKR akan diminta menyediakan satu pencawang voltan tinggi sendiri 

c. Kawasan yang memerlukan tambahan itu mungkin terlalu luas, pencawang perantaraan juga berjauhan antara satu dengan lain dan kesusutan voltan berlaku pada kabel TNB TNB hanya atau selalunya membekalkan bekalan hingga ke perkakassuis voltan tinggi pengguna sahaja. Sistem metering ialah secara Bulk Metering. Panel metering ini adakalanya dipasang dalam pencawang HT pengguna dan adakalanya dipasang dalam pencawang TNB sendiri. Pembahagian sistem 11kV dalam pepasangan pengguna terdiri dari 

1 main intake (Pencawang Masukan Utama) dengan beberapa lagi buah pencawang yang diperlukan yang lazimnya disambung secara gelang (ring). Satu sistem pepasangan 11kV yang senang difahami adalah seperti berikut:

 a. Pencawang sistem jejari (radial)
 b. Pencawang sistem gelang (ring) 
c. Pencawang sistem gelang dengan spur

 1. SISTEM BEKALAN ELEKTRIK Terdapat tiga jenis voltan dalam sistem bekalan elektrik di Malaysia iaitu: 
a. Voltan Penjanaan 
b. Voltan Penghantaran
 c. Voltan Pembahagian Voltan Penjanaan Voltan Penghantaran Voltan Pembahagian 415V 275kV 11kV 11kV 132kV 33kV 66kV 6.6kV 0.415V Nilai voltan yang terjana akan dinaikkan untuk penghantaraan dan direndahkan untuk pembahagian.
 Proses pengendalian meninggi atau merendahkan nilai voltan memerlukan pencawang (alatubah). Voltan tinggi untuk penghantaran adalah bertujuan untuk mengurangkan susut voltan dan menjimatkan kos projek dan senggaraan. Voltan pembahagian perlu direndahkan untuk menyesuaikan dengan voltan peralatan yang digunakan oleh pengguna. 

1.1 Bekalan Masuk Bekalan masuk boleh didapati dari pencawang pencawang penjanaan, janakuasa atau dari perkakas suis pencawang yang lain. 

1.2 Perkakas Suis Bertugas atau berfungsi untuk menyambung atau memutuskan bekalan elektrik secara otomatik atau manual. 

1.3 Geganti Perlindungan Berfungsi untuk melindungi perkakas suis dan alatubah 

1.4 Alatubah Berfungsi untuk meninggikan atau menurunkan voltan 

1.5 Bekalan Keluar Bekalan yang keluar dari pencawang dan akan disambungkan kepada samada pengguna atau pencawang lain Biasanya stesen penjanaan elektrik terletak jauh daripada bandar atau kawasan yang mempunyai beban yang tinggi. Oleh itu penghantaran jarak jauh terpaksa dilakukan dengan menggunakan voltan tinggi untuk menjimatkan kos serta mengurangkan susut voltan dan kehilangan didalam kabel. 2. PENCAWANG VOLTAN TINGGI DALAM BANGUNAN Pencawang voltan tinggi dalam bangunan adalah untuk menempatkan perkakas suis, alatubah dan peralatan yang berkaitan untuk mengagih-agihkan bekalan. Dalam rekabentuk lama, terdapat dimana perkakas suis dan alatubah ditempatkan dalam satu bilik yang sama. Untuk menghindarkan dari berlaku kemalangan kepada pekerja yang membuat pensuisan, satu rekabentuk yang baru telah dibuat dimana perkakas suis dan alatubah telah diasingkan dalam bilik-bilik yang berasingan. Laluan masuk ke bangunan mestilah dengan mudah dapat menurunkan segala perkakas suis yang diperlukan dihadapan pintu pencawang. Pintu-pintu pencawang pula hendaklah dapat memuatkan apa sahaja peralatan yang besar yang diperlukan. Ruang dalam pencawang pula hendaklah cukup besar ruangnya supaya segala peralatan yang bakal dipasang senang digerakkan dan disusun. Pintu-pintu pencawang pula hendaklah dipasang dengan cara membuka arah keluar, bertujuan jika berlaku apa-apa letupan dari dalam pencawang, pintu ini akan membuka arah keluar dan sekaligus mengurangkan tekanan didalam bilik pencawang. Pembinaan lantai pula hendaklah samarata dan tidak terdapat apa-apa halangan yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan. Semua peparit kabel hendaklah disediakan penutup yang boleh diangkat dan boleh menampung berat perkakas suis dan pekerja yang berada diatasnya. Semua sambungan pita tembaga pembumian hendaklah dipasang pada dinding-dinding peparit kabel, tepi perkakas suis, dinding pencawang atau lantai peparit kabel supaya ia tidak menjadi halangan. Bila dua alatubah diperlukan untuk satu pencawang, maka dua buah bilik yang berasingan perlu disediakan. Disini juga alatubah hendaklah diletak/dipasang pada satu kedudukan yang memberi ruang mencukupi disekelilingnya untuk membolehkan semua kendalian dan apa saja kerja yang berkaitan dilakukan. Rekabentuk dan saiz perkakas suis dan alatubah yang bakal digunakan nanti memainkan peranan yang penting bagi menentukan saiz sesuatu pencawang. Faktur-faktur lain seperti tinggi paras lantai dari siling, lebar daun pintu dan panjang serta lebar bangunan pencawang perlulah diambil kira. Keselesaan ruang sekeliling perkakas suis dan alatubah mesti diambil kira untuk menarik keluar pemutus litar/perkakas suis semasa membuat kerja baikpulih dan senggaraan. Juga keselamatan dibahagian atas perlu diberi perhatian. Untuk membuka dan mengangkat core alatubah keluar ruang untuk chain block perlu mencukupi. Kebanyakan perkakas suis memerlukan ruang yang selesa dibahagian belakang untuk kerja-kerja menyambung kabel dan apa saja kerja dibahagian busbar. Pada kebiasaannya ruang untuk penambahan perkakas suis sentiasa disediakan. Semua pencawang voltan tinggi hendaklah dilengkapkan dengan peralatan pengendalian (tools) tersendiri. Peralatan ini hendaklah dipamerkan didinding bangunan, diatas rak atau didalam kabinet. Peralatan-peralatan yang dimaksudkan ialah seperti set pembumian, test plug, handle pengendalian, peralatan untuk menurunkan tangki pemutus litar, handle pengecas spring dan lain-lain lagi. Lubang-lubang pada pencawang untuk keluar/masuk kabel hendaklah ditutup dengan berkesan demi untuk menghalang binatang-binatang seperti ular, tikus, kucing dan lain-lain dari masuk kedalam peparit kabel. Pemanasan dan ruang alir angin (ventilation) perlu diberi perhatian khas. Anak tingkap hendaklah diadakan disekeliling bangunan pencawang. Ini termasuklah pada pintu, tingkap dan ruang-ruang lain yang difikirkan perlu. Untuk mengelakkan serangga kecil masuk kedalam semua lubang-lubang angin pada pintu dan tingkap, hendaklah dipasangkan dengan mosquito netting. Mata-mata lampu dan kuasa hendaklah dibekalkan didalam bangunan pencawang untuk kemudahan bekerja pada waktu siang dan lebih-lebih lagi malam hari. Alat pemadam api hendaklah disediakan dan disenggara dengan baik pada tempat yang berhampiran sekali dengan pintu masuk ke pencawang. Jika sistem pencegah kebakaran jenis otomatik dipasang, satu cara khas untuk mematikan sistem itu perlu diadakan bilamana kerja-kerja tambahan atau penyelenggaraan hendak dijalankan pada pencawang berkenaan. 

3. PENCAWANG PEMBAHAGIAN Pencawang pembahagian boleh dibahagikan kepada tiga jenis: 

a. Pencawang berbangunan atas tanah 

b. Pencawang luar bangunan atas tanah

 c. Pencawang Compact d. Pencawang atas tiang 

3.1 Pencawang Berbangunan Atas Tanah Boleh dibahagikan kepada tiga jenis seperti berikut:

 a. Pencawang rangkuman bilek dimana alatubah dan perkakas suis dibina dalam bilek yang sama

 b. Pencawang yang mempunyai satu bilek alatubah 

c. Pencawang yang mempunyai dua bilek alatubah Pencawang berbangunan boleh didirikan dengan dua cara iaitu bangunan pencawang sendirian atau bangunan pencawang cantuman dengan bangunan-bangunan. 

Alat-alat yang terdapat didalam pencawang adalah:
 a. Alatubah
 b. Perkakas suis
 c. Papan pembahagian voltan rendah (MSB atau Feeder Pillar)
 d. Alat pemadam api – jenis otomatik bagi pencawang cantuman dengan bangunan
 e. Carta pemulihan nafas
 f. Papan tanda MERBAHAYA dan DILARANG MASUK
 g. Kabel voltan tinggi dan rendah

 3.2 Pencawang Luar Bangunan Atas Tanah Terdapat hanya satu jenis pencawang luar bangunan atas tanah dengan tapak piawai 25’ x 20’. Sekiranya tanah untuk tapak pencawang diluar bangunan tidak mencukupi, ia hendaklah sekurang-kurangnya berukuran 15’ x 20’. Alat-alat yang terdapat didalam pencawang adalah:

a. Alatubah 
b. Perkakas suis
c. Papan pembahagian voltan rendah (MSB atau Feeder Pillar) 
d. Kabel voltan tinggi dan rendah 

3.3 Pencawang Compact Pencawang jenis ini adalah berdindingkan logam sepenuhnya tanpa bangunan. Didalamnya terdapat Ring Main Unit, Alatubah dan Papan Suis Voltan Rendah. Kadaran kuasa alatubahnya adalah terhad, contohnya 500kVA, 750kVA dan 1000kVA. Untuk kerja segera atau keperluan kecemasan ianya amat sesuai sebab tidak perlu membina bangunan konkrit yang memakan masa yang lama untuk menyiapkannya. 

3.4 Pencawang Atas Tiang Pencawang atas tiang dibahagikan kepada dua jenis:
 i. Pencawang perantaraan atas tiang.
 ii. Pencawang akhir atas tiang Pencawang perantaraan atas tiang adalah pencawang yang mempunyai dua bekalan voltan tinggi, kadang-kadang juga dipanggil pencawang loop In Loop Out atas tiang. Adapun pencawang jenis ini biasanya terletak ditengah-tengah litar voltan tinggi. Pencawang akhir atas tiang adalah pencawang yang mempunyai satu bekalan sahaja iaitu masuk sahaja. Pencawang ini biasanya terletak diakhir litar voltan tinggi. Alat-alat yang terdapat didalam pencawang atas tiang adalah seperti berikut: 

a. Penebat Pin Adalah alat yang digunakan untuk membantu pengalir yang tak bersalut dari disentuhi oleh bahan-bahan besi yang lain. 
b. Peti Kabel Tempat untuk menerima kabel voltan tinggi dan menyambung kabel dengan pengalir tidak bersalut 
c. Penangkap Kilat Untuk melencongkan pusuan kilat kebumi apabila kilat menyambar talian atas alatubah. Dengan ini talian atau alatubah dapat diselamatkan
 d. Fius Jatoh (Drop Fuse) Fius jatoh digunakan pada alatubah apabila berlaku arus lampau dan untuk memutuskan litar jika ada kerosakan dalam lilitan 
e. Saluran Besi 4” X 2” Untuk mengapit dua tiang besi supaya tiang sentiasa tegak
 f. Penebat Berbelenggu Voltan Rendah Bertindak sebagai penebat untuk voltan rendah yang keluar
 g. Alatubah Untuk merendahkan voltan 11kV kepada 415V. keupayaan biasa alatubah untuk pencawang diatas tiang ialah 100kVA. 
h. Bush Kabel Untuk mengapit kabel voltan tinggi. Bush ini dibuat dari kayu 
i. Tiang Keluli Tiang ini ialah untuk menampung berat beban yang ada dipencawang ini. Tingginya ialah 35 kaki
 j.Alat Pengadang (Anti Climbing Device) Untuk mencegah orang yang tidak ada berkenaan mendekati atau memanjat bahagian litar hidup
 k. Tiang Pengapit Untuk mengapit paip galvanic dengan tiang keluli 
l. Paip Galvanic Paip yang berukuran 3.5” x 10” digunakan untuk perlindungan kabel voltan tinggi m. Kabel Voltan Tinggi Ialah kabel masuk dan keluar 11kV n. Konkrit Bawah Tiang Konkrit ini ialah untuk menguatkan lagi tiang Pencawang pembahagian berbangunan biasanya diletakkan di bandar, taman perumahan, kilang-kilang dan di tempat ramai orang. Pencawang pembahagian luar bangunan atas tanah dan pencawang atas tiang biasanya diletakkan dikawasan lombong dan tempat yang jauh dari orang ramai. 

4. PENCAWANG LITAR GELANG Bila pencawang voltan tinggi disambung secara gelang, ia akan meningkatkan lagi prestasi bagi pencawang itu. Apa yang dimaksudkan ialah bilamana berlaku sesuatu kerosakan pada pencawang A, kawasan yang dikawal oleh pencawang A masih dapat diberikan bekalan. Dengan mengasingkan feeder yang rosak ke pencawang A bekalan dapat diberikan semula ke A menerusi pencawang / feeder lain. 

5. PENCAWANG LITAR SPUR Spur adalah pencawang tambahan yang disambungan dari mana-mana pencawang yang berada didalam sesuatu sistem gelang tetapi spur tersebut tidak termasuk didalam sistem gelang tersebut.

 6. PENCAWANG MASUKAN UTAMA Satu rekabentuk yang standard bagi pencawang masukan utama adalah seperti didalam gambarajah. Biasanya pencawang ini terdiri dari jenis dua petak (chamber), satu petak untuk perkakas suis TNB dan satu lagi untuk perkakas suis pengguna.

 7. UJIAN MULATUGAS PENCAWANG Ujian mulatugas sesebuah pencawang pembahagian boleh dibahagikan kepada perkara-perkara berikut: 
a. Ujian mulatugas Pemutus Litar (OCB, VCB atau SF6)
 b. Ujian mulatugas Ring Main Unit (OLU, HFU, SF6)
 c. Ujian mulatugas kabel
 d. Ujian mulatugas alatubah
 e. Penatahan geganti-geganti perlindungan (Primary & Secondary Injection)
 f. Ujian penebatan dan keterusan pendawaian kecil (secondary wiring) 
g. Ujian alatubah arus dan alatubah voltan (c.t dan p.t) 
h. Ujian pengecas bateri dan litar arus terus
 i. Ujian penebatan kabel, busbar, pemutus litar, ring main unit dan alatubah
 j. Ujian tekanan kabel, busbar, pemutus litar, ring main unit dan alatubah 
k. Ujian keterusan litar pandu (solkor & translay) 
Tindakan yang mesti diambil sebelum mengendalikan perkakas ujian tekanan 

· Pastikan kawasan untuk membuat ujian tekanan telah dikepung dengan tali khas berwarna terang dan pada tali itu digantung tanda BAHAYA. · Pastikan sambungan ke bumi perkakas suis ujian tekanan kukuh dan ketat dan dawai yang digunakan hendaklah yang sesuai, sekurang-kurangnya 7/0.029 PVC. · Kayu discharge pula mesti disediakan dan tempat meletakkan kayu itu hendaklah ditempat yang tidak mengganggu pekerjaan. · Jarak diantara unit alatatur voltan dan unit alatubah mestilah sesuai sebab voltan tinggi berada dipunca alatubah.
 
· Dawai ujian yang hidup tidak boleh diletakkan atas tanah atau terlebih dekat dengan punca pembumian seperti tubuh panel OCB atau suis. · Pada masa buang cas gunakanlah hujung kayu discharge terlebih dahulu hingga bacaan jangka kilovolt menunjukkan kosong sebelum membuat sambungan terus pada bumi. · Sebelum ujian tekanan dilakukan pada sesuatu alat, ujikan dahulu alat itu dengan alatuji penebatan 1000 volt. Bacaan penebatan yang didapati mestilah 100 megaohm keatas. Ujian tekanan dengan voltan penuh tidak dinasihatkan untuk dijalankan jika rintangan penebatan kurang daripada 100 megaohm.

Comments

Popular posts from this blog

SISTEM PEMBUMIAN

RING MAIN UNIT